PENGERTIAN RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى ‘Eid Ul-Aḍḥa), Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Perayaan ini merupakan perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladouha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua waktu ini dipanggil Hari Tasyrik.

Aidiladha ialah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan pada empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam kerana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. [1]

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakannya tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian bersih dan ceria dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

RAYA AIDILADHA DALAM HADIS

  • Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: “Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)
  • Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
  • Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: “Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.”
  • Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a:

Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata’ daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata’ tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.

AIDILADHA DAN COVID 19

Raya Aidiladha tiba lagi.  Namun ketibaan kali ini dalam suasana sungguh berbeza.  Wabak yang sedang melanda dunia tidak memungkinkan umat Islam menyambut Aidiladha sebagaimana kebiasaannya.  Solat sunat hari raya dan iktikaf di masjid secara berjemaah pastinya dirasakan begitu janggal.  Begitu juga masjid yang sentiasa diimarahkan , kali ini menjadi sunyi dan sepi.  Semuanya ini menimbulkan kesedihan yang tidak terucap. Namun kelainan atau perbezaan dalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha perlu diterima dengan hati terbuka. Agama mengajar kita untuk memelihara kemaslahatan lebih utama, iaitu nyawa yang merupakan perkara daruri.  Nyawa wajib dipelihara sebagai salah satu prinsip yang dipelihara oleh syariah (maqasid al-syariah). Dengan terpeliharanya nyawa atau diri, agama yang merupakan satu lagi prinsip yang dipelihara syariah akan turut terbela.  
     Dalam hubungan ini, penangguhan semua aktiviti peribadatan secara berjemaah sebagaimana diputuskan sebelum ini bertujuan memelihara nyawa dan mengelakkan penyebaran wabak.  Institusi fatwa pada peringkat antarabangsa dan tempatan mengeluarkan pandangan sebagai panduan untuk masyarakat awam. Antaranya termasuklah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, Majlis Ugama Islam Singapura, Hai’ah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Majlis `Ilmi Fiqhi serta Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama Syam. Rumusan yang dapat dibuat daripada fatwa yang dikemukakan ini antara lain, pertama penangguhan ibadah seperti solat berjemaah dan Solat Jumaat (yang perlu digantikan dengan solat Zohor) buat sementara waktu adalah diharuskan dari sudut syarak.  Demikian juga dengan semua aktiviti keagamaan yang diadakan di masjid.  Hal ini dengan mengambil kira kemudaratan yang diakibatkan wabak sebagaimana disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan. Meskipun pelaksanaan solat berjemaah ditangguhkan, namun azan mesti dilaungkan setiap waktu solat di setiap buah masjid. Kedua, penghidap penyakit atau yang memiliki simptom wabak diharamkan dari sudut syarak untuk berada di tempat awam atau ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah, Solat Jumaat dan solat hari raya. Langkah pencegahan seperti kuarantin dan rawatan perlu diambil untuk memelihara kemaslahatan umum dan mengelakkan penularan wabak. Tindakan kuarantin seumpama ini pernah dilaksanakan Ibn Sina ketika wabak Maut Hitam (Black Death) melanda Asia hingga Eropah dan mengorbankan 200 juta nyawa. Ketiga, dari sudut syarak setiap warganegara bertanggungjawab mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan kementerian kesihatan bagi mengekang penularan dan menghapuskan wabak. 
 
       Kita umumnya mengetahui Islam merupakan agama persaudaraan. Oleh yang demikian, prinsip persaudaraan turut terserlah melalui ibadah yang disyariatkan seperti solat berjemaah. Namun demikian, Islam juga menekankan keprihatinan terhadap keselesaan dan kesejahteraan anggota jemaah lain.  Dalam hubungan ini, terdapat Hadis Nabi SAW yang mengingatkan individu yang memakan bawang putih atau merah untuk tidak ke masjid dan hanya duduk di rumah sahaja. Tegahan Baginda SAW ini bertujuan mengelakkan ketidakselesaan dan gangguan ketika menunaikan solat secara berjemaah.  Jika bau yang tidak menyenangkan pun ditegah oleh Nabi SAW, apatah lagi jika ia melibatkan penyakit dan wabak yang boleh mengundang maut. Sudah pasti, keperluan untuk mengelakkan pergaulan dan kebersamaan di masjid lebih-lebih lagi dituntut. 
     Fatwa yang telah dikeluarkan pada peringkat tempatan dan antarabangsa itu juga dapat dijadikan panduan bagi pelaksanaan ibadah yang lazimya dilaksanakan di masjid sepanjang bulan Ramadan. Sebagaimana ditekankan dalam fatwa daripada Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar al-Syarif, solat berjemaah tidak seharusnya di masjid malah sebaliknya boleh dilaksanakan di rumah bersama-sama dengan keluarga selagi sekatan perjalanan masih berkuatkuasa.   
      Raya Aidiladha kali ini yang tiba dengan jaminan keampunan dan limpahan rahmat Ilahi pasti lebih bermakna. Inilah peluang yang amat diperlukan oleh insan beriman untuk bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT dan mendoakan kesejahteraan penduduk dunia agar bebas daripada wabak yang sedang melanda. Imam Ahmad ibn Ali ibn Hajar al-`Asqalani dalam bukunya, “Bazl al-Ma`un fi Fadl al-Ta`un” menyebut beberapa tindakan yang diambil oleh penduduk Mesir ketika dilanda wabak taun pada tahun 449H. yang mengorbankan 80,000 orang. Penduduk Mesir berkumpul untuk membaca Surah Nuh dan kitab Hadis al-Bukhari selain berdoa dengan penuh pengharapan.  Apabila keadaan tidak juga reda, mereka membaca qunut dalam solat dan doa di samping berpuasa.  Hal ini menjadikan jiwa mereka begitu pasrah, khusyuk, tawaduk dan kembali kepada Allah dengan penuh keinsafan. Imam Ahmad turut merujuk tindakan yang diambil oleh Khalifah `Umar ibn Abdil Aziz ketika menghadapi peristiwa gempa bumi, iaitu dengan bersedekah dan berdoa sebagaimana dianjurkan oleh al-Quran dalam ayat 23, Surah al-A`raf yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami.” Menurut Imam Ahmad, tindakan yang dilakukan oleh Khalifah `Umar harus diteladani meskipun bentuk musibahnya berbeza kerana kedua-duanya menimbulkan ketakutan. 
         Pegerakan terhad juga tidak menjadi halangan untuk melaksanakan amal salih lain yang amat digalakkan pada bulan Ramadan seperti bersedekah. Peluang untuk berbuat demikian ternyata luas pada saat ini dan tidak terhad dalam bentuk kewangan. Sebagaimana dilaporkan, sebahagian anggota masyarakat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan disebabkan situasi yang berlaku. Sudah tentu sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan turut mengukuhkan inisiatif bantuan yang disediakan kerajaan. Demikian juga dengan khidmat kesukarelawanan dan kepakaran yang disumbang bagi membantu pasukan perubatan serta kesihatan dalam usaha menangani wabak. Mudah-mudahan Ramadan juga dimanfaatkan untuk bermuhasabah atas segala kerosakan yang dilakukan temasuk terhadap alam. Sebagaimana dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pencemaran udara menyebabkan kematian tujuh juta nyawa setiap tahun. Ia antara lain disumbangkan melalui kegiatan perindustrian terutama negara kuasa besar dunia. Walau bagaimanapun, pendekatan kuarantin oleh negara di dunia disebabkan COVID-19 dapat mengurangkan tahap pencemaran, meningkatkan kualiti udara dan menjernihkan laut serta sungai. Ternyata, COVID 19 bukan sekadar ujian buat penduduk dunia tetapi membawa hikmah yang tidak terhitung.  
 

          Hikmah yang tidak terhitung inilah yang seharusnya mendorong kita mengisi tiap-tiap hari kita dengan sebaik-baiknya. Situasinya mungkin berbeza namun peluang untuk memperoleh keberkatan, kerahmatan dan keampunan Allah SWT tetap sama.